Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Kebebasan_bersuara_di_Malaysia

Perkara 10(1)(a) memperuntukkan setiap warganegara Malaysia adalah mempunyai kebebasan bercakap dan bersuara. Warganegara Malaysia mempunyai kebebasan dalam mengeluarkan pendapat dan buah fikiran mereka selagi mana mereka tidak menyentuh pada isu-isu sensitif yang telah dikenal pasti oleh Parlimen dalam perkara 10(4). Kebebasan bersuara dalam Malaysia tidak dijaminkan secara mutlak dan ianya terbatas kepada warganegara sahaja[2]. Parlimen boleh mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara melalui undang-undang[3] jika mendapati sekatan tersebut perlu dibuat demi kepentingan keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam, atau prinsip moral.

Dalam kes Minister of Home Affairs v Persatuan Aliran Kesedaran[4], responden telah memohon untuk permit dibawah Seksyen 6(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk mencetak dan menerbitkan dalam Bahasa Malaysia majalah yang bernama 'Seruan Aliran'. Permohonan itu ditolak oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Mahkamah telah memutuskan bahawa Seksyen 12(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 memberikan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri budi bicara mutlak untuk menolak permohonan bagi mendapat lesen atau permit.

Selain itu, sekatan-sekatan tersebut juga bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah seperti mana yang telah diperuntukkan dalam perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan bersuara atau bercakap yang dijaminkan dalam Perlembagaan Persekutuan sering kali dipersoalkan. Pihak berkuasa seperti ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri sentiasa mengatakan hak kebebasan bersuara mereka dikawal dan sekatan terhadap hak tersebut adalah tidak sah serta tidak berperlembagaan[5].

Pada zaman teknologi moden ini, internet telah menjadi sebuah forum yang kuat dan luas untuk rakyat mengeluar dan menyebarkan pendapat. Hal ini demikian, internet adalah medium yang murah untuk menerbitkan sesuatu mesej kepada khalayak umum yang lebih luas tanpa sempadan masa dan negara. Seperti frasa yang digunakan dalam konteks kebebasan bersuara, hak asasi adalah tidak mutlak. Kerana senario ini, penapisan kerajaan terutamanya akan menghentikan kesan-kesan negatif yang mungkin akan diundang dari pengeluaran buah fikiran di internet. Dalam erti kata lain, hak kebebasan bersuara melalui internet mungkin ditentang oleh pengguna internet kerana penapisan tersebut dikatakan menentang idea individualisme dalam masyarakat.